Monday, 8 August 2011

Pendahuluan dan Pengertian Masjid


   Dari sudut bahasa “masjid” bermaksud tempat bersujud. Masjid adalah sebuah tempat di mana ibadat – ibadat khusus dijalankan secara berjemaah atau beramai – ramai. Disebabkan itu masjid secara tidak langsung telah menjadi tempat yang menyatukan dan merapatkan umat Islam khususnya di rantau ini. Masjid mempunyai pelbagai fungsi jika dilihat dari pelbagai sudut pandangan.
   Antara fungsi yang boleh dikaitkan dengan masjid ialah sebagai pusat penyebaran ilmu dikalangan penduduk setempat, pusat penyelidikan serta tafsiran dan juga sebagai pusat komuniti berkumpul untuk menjalankan sebarang aktiviti dan program.
   Sejak zaman permulaan Islam lagi, kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, ekonomi, perundangan dan penyebaran ilmu.
   Pada zaman dahulu, sewaktu zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, masjid memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam kepada pedagang – pedagang asing yang datang dari China, Jepun , India dan juga dari Eropah. Para ulama akan berkumpul dan menerangkan tentang Islam kepada pedagang – pedagang ini.
   Di Malaysia, terdapat banyak masjid yang telah dibina bagi memudahkan umat Islam di negara ini untuk beribadat. Seni bina masjid di negara ini setaraf dengan masjid – masjid yang di luar negara. Setiap negeri di Malaysia sama ada di semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak mempunyai satu masjid negeri. Sebagai contoh di Kedah Darul Aman, Masjid Zahir telah diiktiraf sebagai masjid negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment